Tujuan Para Nabi Dan Para Rasul Diutus

Tidaklah seorang pun dari para Nabi dan Rasul diutus oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada ummahnya kecuali keimanan (akidah tauhid) me...

Tidaklah seorang pun dari para Nabi dan Rasul diutus oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada ummahnya kecuali keimanan (akidah tauhid) menjadi bekal, asas dan tiang dakwahnya.  

Mereka sentiasa menjadikan kalimah tauhid pokok perkara (inti dalam dakwahnya) sehingga kalimah ini dijadikannya dasar dan manhaj dalam setiap seruan atau dakwah mereka.
  
Kalimah Tauhid  (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ) pasti akan mendatangkan manfaat dan syafaat yang besar.  

Inilah janji Allah kepada sesiapa yang mengucapkannya dengan penuh keikhlasan selagi dia tidak merosakkan kalimah tersebut dengan perbuatan syirik, kerana kesyirikan merosakkan syahadah seseorang sebagaimana hadas merosakkan wuduk.  

Kalimah syahadah (لا اله الا الله ، وان محمدا رسول الله), perlulah benar-benar diketahui dan diyakini oleh setiap orang-orang Islam yang beriman, sentiasa dipelihara semua syara-syarat dan rukunnya dan dipenuhi segala tuntutannya.  Kalimah tauhid ini juga memberi makna: 

"Bahawa tidak ada tuhan yang boleh disembah dan diibadahi dengan hak kecuali Allah, selain Allah semuanya batil. 

Dan meyakini bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah dan RasulNya".

Adapun maksud yang sedemikan telah diterangkan juga oleh Muhammad al-Abdali:

مَعْنَى لاَ اِلَـهَ اِلاَّ اللهُ : اَيْ لاَ مَعْبُوْد بِحَـقٍّ اِلاَّ الله ، وَغَيرُ اللهِ اِنْ عبد فَبَاطِلٌ.
"Makna لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ  (Tiada tuhan selain Allah), iaitu:  Tiada yang diibadahi dengan hak kecuali Allah dan selain Allah jika disembah maka sesungguhnya ia adalah kebatilan". 

Sebagaimana firman Allah:

ذَلِكَ بِاَنَّ اللهَ هُوَ الْحَقُّ وَاَنَّ مَا يَدْعَوْنَ مِنْ دُوْنِهِ هُوَ الْبَاطِلُ وَانَّ اللهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ.

"(Kuasa Allah) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Tuhan) Yang Hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar". Al-Haj, 22:62.

مَعْنَى مُحَمَّدٌ رَّسُـوْلُ اللهِ اَيْ : لاَ مَتْبُوْع بِحَقٍّ اِلاَّ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَغَيرُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِن اتَبَعَ فِيْمَا لاَ دَلِيْلَ عَلَيْهِ فَقَدِ اتَّبَعَ بِبَاطِلٍ.

"Makna محمد رسول الله  (Muhammad utusan Allah) iaitu:  Tiada yang boleh diikuti (ditaati/diittiba') dengan hak kecuali Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, selain Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam jika diikuti sedangkan tidak ada dalilnya padanya, maka telah mengikuti kebatilan".   

Dalil-dalil dari al-Quran pula ialah:

اتَّبِعُوْا مَآ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَّا تَذَكَّرُوْنَ.

"Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya.  Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya)". Al-'Araf, 7:3.

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ حَتَّى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَـجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُوْا فِى اَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.

"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya". An-Nisa', 4:65.

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ وَمنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً مُّبِيْنًا.

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.  Dan sesiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat yang nyata". Al-Ahzab, 33:36.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa seseorang mukmin tidak boleh mengibadahi sesuatu dengan hak kecuali Allah Azza wa-Jalla dan tidak ada orang yang boleh diikuti dengan hak kecuali Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam.

Begitu juga, wajib sentiasa diyakini oleh setiap orang-orang yang beriman bahawa tidak dicipta jin dan manusia kecuali dengan tujuan supaya beribadah hanya semata-mata kepada Allah 'Azza wa-Jalla Yang Esa. 

Sesiapa yang menyembah atau mengibadahi selainNya maka dia telah melakukan dosa yang paling besar iaitu syirik kepada Allah.  

Adapun firman Allah yang menjelaskan tentang tujuan manusia dan jin dicipta:, keyakinan akan wujudnya Allah tidak boleh dinafikan oleh fitrah (naluri) setiap hamba yang berakal.  

Fakta ini ialah bersandarkan kepada nas-nas syara (dari al-Quran, al-Hadith dan athar yang sahih).  

Para ulama usuluddin yang berpegang teguh dengan manhaj Salaf as-Soleh meyakini bahawa pada rukun yang pertama ini (Beriman kepada Allah) iaitu tentang wajibnya meyakini akan wujudnya Allah, maka keyakinan ini memang tidak boleh dimungkiri oleh hati setiap insan kerana ia adalah keyakinan yang semulajadi.  

Menurut para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah, berkeyakinan tentang wujudnya Allah terbahagi kepada empat bahagian (unsur) iaitu:  
  • Pertama:  Keimanan secara fitrah.  
  • Kedua:  Keimanan melalui akal.  Ketiga:  Keimanan melalui syara.  Dan keempat:  Keimanan melalui perasaan. 
Dalil Pertama:  Secara Fitrah 

Di dalam hati setiap Bani Adam telah wujud perasaan secara fitrah yang meyakinkan akan wujudnya Allah Subhanahu wa-Ta'ala.  

Ia merupakan kepercayaan secara semulajadi yang dengan sendirinya memberi kesedaran kepada diri seseorang insan tentang kebesaran Allah.  

Fitrah ini tersemat di hati setiap manusia, yang mana secara tabiinya mereka mengakui akan wujudnya Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan keAgungannNya sebagai Pencipta sekalian alam yang nyata dan alam yang ghaib. 

Fitrah ini tidak ada siapa yang boleh mengubahnya:

فِطْرَتَ اللهِ الَّتِى فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لاَ تَبْدِيْلَ لِخَلْقِ اللهِ.

"(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah mencipta menusia menurut fitrah itu.  Tidak ada perubahan pada fitrah Allah". Ar-Rum, 30:30.

Menurut penjelasan dari al-Quran, hadith-hadith yang sahih dan qaul-qaul ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah bahawa keimanan dalam hal ketuhanan secara fitrah atau tabii ini akan tetap berlaku di dalam jiwa setiap diri (individu, insan atau makhluk yang berakal) tanpa pengecualian bangsa, agama, kedudukan, tempat, persekitaran, situasi dan iklim.  

Firman Allah:

وَاِذْ اَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِى ءَادَمَ مِنْ ظُهُوْرِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَاَشْهَدَهُمْ عَلَى اَنْفُسِهِمْ اَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوْ

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman:) Bukankah Aku ini Tuhanmu?  Mereka menjawab, benar (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi, (Kami lakukan yang demikian itu) agar di Hari Kiamat kamu tidak mengatakan sesungguhnya Kami (bani Adam) adalahn orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)". Al-'Araf, 7:172.  

Namun keimanan ini boleh berubah kemudiannya iaitu bertukar setelah ia dewasa lantaran beberapa punca terutamanya ialah pengaruh luaran dan menuruti perasaan.  

Ini berlaku dikeranakan oleh beberapa sebab atau faktor, antaranya ialah:
  • Pertama:  Berubah menjadi kafir atau syirik disebabkan tidak mendapat hidayah dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala melalui rasulNya, berubah yang berpunca dari pengaruh orang-orang di persekitarannya atau berpunca dari sikap dan hawa nafsunya yang suka menentang kebenaran.
  • Kedua:  Disebabkan menerima akidah (kepercayaan agama) selain dari yang telah disyariatkan oleh Allah.
  • Ketiga:  Menolak atau menentang syariat Islamiyah yang disampaikan kepadanya.
  • Keempat:  Meninggalkan atau mengabaikan wahyu dari Allah  yang berupa al-Quran dan as-Sunnah. 

Hakikat ini adalah suatu realiti yang tidak dapat dinafikan kebenarannya kerana ia telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ إلاَّ يُـوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ ، فَأبَـوَاهُ يُـهَوِّدَانِـهِ أوْ يُـنَـصِّرَانِـهِ أوْ يُـمَجِّسَانِـهِ.

"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah.  Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau memajusikannya". 

Hadith sahih ini menegaskan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (dijadikan dalam keadaan bersih akidahnya).  

Jika ia mati sebelum sampai ke peringkat umur akil  yang baligh (berakal) maka kematiannya adalah dalam keadaan bersih (bersih dari segala dosa, kekafiran atau kesyirikan) kerana ia mati dalam keadaan fitrah.  

Di hari penghisaban ia tidak dihisab dan tidak dimasukkan ke neraka walaupun ia dilahirkan oleh seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.  

Tetapi jika sekiranya ia mati setelah ia menjadi seorang dewasa yang baligh dan berakal, kemudian dikafirkan akidahnya oleh kedua orang tuanya atau ia dengan sendirinya memilih agama selain dari agama Islam, atau juga bersebab dari beberapa sebab yang dinyatakan di atas, maka kematiannya itu adalah dalam kekafiran.

Dalil Kedua:  Akal (Logika)  

Naluri semua insan yang terdahulu, yang kemudian dan sehinggalah ke Hari Kiamat meyakini adanya Tuhan Yang Maha Pencipta.  

Mereka tidak dapat menafikan hakikat (kenyataan) ini, jika tidak demikian, bagaimana mereka boleh wujud dan juga segala-galanya boleh ada.  

Akal fikiran manusia pasti mengakui wujudnya ilah kerana semuanya ini tidak mungkin tercipta dengan cara kebetulan.  

Tidak ada suatu benda menjadikan dirinya sendiri kerana sebelum dia wujud dia tidak pernah ada dan kemudian bagaimana boleh tercipta. 

Akal yang dimaksudkan di sini ialah akal yang dihati, sebagaimana hadith dari Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu berkata:

اَلْعَقْلُ فِى الْقَلْبِ

"Akal itu di dalam hati"   

Al-Quran telah menjeleskan hakikat akal di dalam hati yang digunakan untuk memikarkan dan memehami segala sesuatu:

لَهُمْ قُلُوْبٌ لاَّ يَفْقَهُوْنَ بِهَا

"Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah)". Al-'Araf, 7:179.

Allah Azza wa-Jalla telah menerangkan tentang fungsi akal fikiran di dalam hati untuk memahami ayat-ayat Allah.  

Dengan mengunakan akal tersebut seseorang hamba mempercayai adanya Tuhan Yang Maha Pencipta. 

Mustahil manusia boleh menyangkal atau menafikan kenyataan yang Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah nyatakan dalilnya di dalam kitabNya.  

Hanya mereka yang kufur sahaja tidak dapat menerima dalil yang Allah sampaikan sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran:

اَمْ خُلِقُوْا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ اَمْ هُمُ الْخَالِقُوْنَ.
"Apakah mereka telah diciptakan tanpa sesuatupun, atau mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?". Ath-Thur, 52:35.
Ayat di atas menjelaskan bahawa siapapun dari kalangan Bani Adam tidak akan terjadi (wujud) tanpa pencipta yang menciptakan mereka, kerana mereka tidak mampu untuk mencipta diri mereka sendiri dan mustahil wujud dengan sendirinya.  

Oleh kerana itulah Jubair bin Mut'im terus beriman setelah mendengar ayat di atas dibacakan kepadanya, kerana itu adalah fitrah.  Dan seterusnya beliau menyempurnakan keimanannya dan berkata:

كَادَ قَلْبِيْ اَنْ يَطِيْرَ وَذَلِكَ اَوَّلُ مَا وَقَرَ اْلاِيْمَانُ فِى قَلْبِيْ.

"(Diketika mendengar ayat tersebut) hatiku hampir terbang, itulah awal pertama terbentuknya keimanan di hatiku". 

Hati manusia adalah sebuah fitrah jika tidak dikotori dengan najis kekufuran dan penyakit hati yang tidak boleh diobati kecuali dengan petunjuk al-Quran.  

Kerana Allah yang mencetak kebaikan (keimanan), maka sibgha (صِبْغَةٌ) "celupan" atau "cetakan" Allah iaitu iman kepadaNya adalah fitrah yang paling sempurna sebagaimana firmanNya:

صِبْغَةَ اللهِ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُوْنَ.
"Sibgah Allah.  Dan Siapakah yang lebih baik sebgahnya dari pada Allah?  Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah". Al-Baqarah, 2:172.

Dalil Ketiga:   Dari Syara

Semua kitab-kitab samawi yang telah diturunkan kepada para rasul pasti memperkatakan tentang wujudnya Allah Yang Esa sebagai pencipta sekalian alam.  

Tidak akan didatangkan walau sebuah kitab kecuali dipenuhi dengan penjelasan tauhid dan diiringi pula dengan mengajarkan tentang peraturan hukum ahkam.  

Semua kitab-kitab yang diturunkan kepada para rasul telah menjelaskan bahawa ia datangnya dari Rabb Yang Maha Mengetahui segala keperluan hamba-hambaNya. 

Ianya juga sebagai pengkhabaran dari Maha Pencipta yang menunjukkan bahawa Dia adalah sebenar-benar Tuhan yang berkuasa dan membuktikan segala apa yang dikhabarkan adalah benar.  

Allah berfirman:

وَمَا اَرْسَـلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ اِلاَّ نُوْحِى اِلَيْهِ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اَنَا فَاعْبُدُوْنِ.

"Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku". Al-Anbiya, 21:25.

Dalil Keempat:   Dari Daya Indera 

Menurut ahli ilmu, dalil dan tanda tentang adanya keyakinan di hati manusia tentang wujudnya Allah melalui daya perasaan atau daya indera, ia dapat dilihat dan dibuktikan melalui dua sudut (cara):

Pertama:  

Melalui sesuatu yang dapat dirasakan, dilihat dan didengar oleh daya perasaan atau indera yang telah dibekalkan oleh Allah kepada semua manusia.  

Contohnya, kita pernah mendengar atau melihat bagaimana seseorang yang di dalam kesulitan atau bahaya, ia akan memohon terus kepada Allah tanpa melalui perantaraan, tujuannya dan harapannya supaya segera dikabulkan oleh Allah segala doanya (permohonan/seruannya).  

Kejadian ini menjadi dalil yang jelas tentang adanya daya perasaan pada diri insan tersebut yang meyakini akan wujudnya Allah sebagai Rabb yang dapat menyelamatkan dirinya dari bahaya dan kesulitan. 

Kita juga telah mengetahui dan membaca cerita dari al-Quran bagaimana Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang sifatnya Pengasih dan Penyayang mengabulkan doa seseorang yang dalam keadaan kesukaran dan terdesak.  
Kejadian seperti ini telah digambarkan oleh Allah di beberapa ayat di dalam firmanNya.  Antaranya:

وَنُوْحًـا اِذْ نَـادَى مِنْ قَبْـلُ فَاسْـتَجَـبْـنَا لَهُ فَنَجَّـيْنَاهُ وَاَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيْمِ.

"Dan ingatlah kisah Nuh, sebelum itu ketika dia berdoa dan Kami memperkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia termasuk orang-orang yang soleh".

اِذْ تَسْتَغِيْثُوْنَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ.

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu". Al-Anfal, 8:9.

Kedua:  

Melalui (menggunakan) akal, daya perasaan, indera atau deria untuk memahami berita dan tanda-tanda tentang wujudnya Allah yang dikhabarkan oleh para Nabi dan Rasul, terutama khabar dari kitab terakhir iaitu al-Quran yang berupa mukjizat. Ini pun jika seseorang itu mahu mendengar, membaca, mempelajari dan mengimani segala apa yang terkandung di dalam kitab tersebut. 

Related

Tujuan Para Nabi Dan Para Rasul Diutus 1661324943593055896

Peringatan/Makluman!

Semua informasi di dalam blog ini sekadar pengetahuan bersama untuk difikirkan. Rujuklah Al-Quran & Hadis dan yang sebaiknya dengan bimbingan guru yang mursyid.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." - (Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Ahlus Sunnah Wal- Jamaa'ah


Ikuti kami dan 'Get Notification'


Sila LIKE dan tanda 'Get Notification' fanpage ini.

Jumlah Kunjungan

Artikel Terkini

Popular

Terbaru

Arkib

Langganan Kemaskini Terkini!

Nama Penuh

Alamat Email

Bersama Kami

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." - Surah Ali `Imran: 110




item