Maksud Ilah Dalam Al-Quran
Secara bahasa kalimah ilah (اِلَهٌ) yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran, ia membawa maksud "al-Ma'bud" iaitu "Yang di...
https://dakwahsecaramaya.blogspot.com/2014/05/maksud-ilah-dalam-al-quran.html
Secara bahasa kalimah ilah (اِلَهٌ) yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran, ia membawa maksud "al-Ma'bud" iaitu "Yang diibadahi dan disembah dengan sepenuh hati".
Firman Allah:
وَاِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ.
"Dan Rabbmu adalah Rabb Yang Maha Esa, tidak ada ilah yang berhak diibadahi (dan disembah) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang". Al-Baqarah, 2:163.
Kesempurnaan akidah seseorang muslim setelah beriman bahawa hanya ada satu Tuhan Yang Esa mencipta dan menguasai langit, bumi, dunia dan akhirat, kerana akal yang waras tidak mungkin menerima adanya dua Tuhan pencipta segala-galanya. Firman Allah:
لَوْكَانَ فِيْهِمَا ءَالِهَةٌ اِلاَّ اللهُ لَفَسَدَتَا.
"Andaikan ada pada keduanya (langit dan bumi) Tuhan selain Allah, nascaya rusaklah keduanya". Al-Anbia, 21:22.
Terdapat beberapa hadith sahih yang menegaskan bahawa Allah menjamin kemasukan syurga bagi mereka yang mengetahui, memahami dan kemudian memenuhi tuntutan kalimah tauhid ini dengan penuh keyakinan dan keikhlasan.
Namun sebaliknya, neraka adalah tempat kembali bagi mereka yang sengaja melakukan kesyirikan lantaran jahil dan mengabaikan kalimah ini. Antara hadith yang dimaksudkan ialah:
مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّة.
"Sesiapa yang mati sedangkan dia mengetahui bahawasanya tidak ada tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, dia akan masuk syurga".
Menurut kenyataan dari sirah, orang-orang Arab jahiliyah (musyirikin) terasa amat keberatan atau enggan untuk mengucapkan kalimah tauhid ini (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ).
Punca keengganan mereka ialah kerana mereka faham makna, maksud, syarat dan tuntutan kalimah ini disamping adanya rasa kesombongan (tidak ikhlas) di hati mereka.
Masyarakat Arab jahiliah menyedari bahawa sesiapa yang mengikrarkan kalimah tauhid bererti dia telah berlepas tangan dan tidak memiliki lagi tuhan-tuhan berhala yang menjadi sembahan selama ini, sebaliknya wajib bagi mereka menafikan semua ketuhanan berhala tersebut dan mengithbatkan (menetapkan) hanya Allah sahaja sebagai Tuhan yang wajib disembah dan ditaati.
Allah telah mengkhabarkan kenyataan ini dengan firmanNya:
اِنَّهُمْ كَانُوْا اِذَا قِيْلَ لَهُمْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ يَسْتَكْبِرُوْنَ وَيَقُوْلُوْنَ اَئِنَّا لَتَارِكُوْا ءَالِهَتِنَالِشَاعِرٍ مَّجْنُوْنٍ بَلْ جَآءَبِالْحَقِّ وَصَدَقَ الْمُرْسَلِيْنَ.
"Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka:(لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ) "Tiada tuhan (yang diibadahi) selain Allah", mereka menyombongkan diri. Dan mereka berkata: Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan (berhala-berhala) kami kerana seorang penyair gila? Sebenarnya Muhammad telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul sebelumnya". As-Shaffat, 37:35-37.
Menurut pemahaman para ulama Salaf as-Soleh yang difahami dari Al-Quran dan al-Hadith yang sahih, sesiapa yang mengetahui pengertian kalimah tauhid ini dan mengimani dengan sepenuh keimanan (keikhlasan) di dalam hatinya, kemudaian mengkufuri segala ketuhanan selain Allah Subhanahu wa-Ta'ala, maka ganjarannya ialah syurga sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa-sallam:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ : مَنْ قَالَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَكَفَرَ بِمَا يُعْبَدُ مِنْ دُوْنِ اللهِ حَــرُمَ مَالُهُ وَدَمُهُ وَحِسَابُهُ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
"Barangsiapa mengucapkan (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ) "Tiada tuhan (yang diibadahi) selain Allah, bererti dia telah kufur terhadap sembahan selain Allah. Harta dan kehormatannya terpelihara dan perhitungan dia berada pada Allah 'Azza wa-Jalla".
Hadith ini menjelaskan bahawa hanya pengucapan kalimah tauhid sahaja yang dapat menyelamatkan harta dan kehormatan seseorang di dunia.
Hadith di bawah ini pula menerangkan bahawa hanya apabila kalimah tauhid ini diucapakan dengan penuh keikhlasan sahaja yang akan menyelamatkan seseorang di akhirat kelak dari terjerumus ke dalam neraka.
Ini menunjukkan bahawa kalimah ini benar-benar dapat meyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat jika diucapkan dengan penuh pengetahuan, kesedaran, keyakinan dan keikhlasan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadith yang seterusnya:
مَنْ قَالَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ مُخْلِصًا دَخَلَ الْجَنَّةَ.
"Barangsiapa mengucapkan (لاَ اَلَهَ اِلاَّ اللَّهُ) "Tidak ada Tuhan (yang wajib diibadahi/disembah) melainkan Allah" dengan penuh keikhlasan, maka dia (berhak) masuk syurga".
Kesemua hadith-hadith sahih di atas memberi maksud dan menegaskan bahawa: "Mengucapkan kalimah syahadah hendaklah didasari oleh ilmu supaya benar-benar dapat difahami pengertian kalimah tersebut.
Kerana hanya setelah memahaminya akan mewujudkan rasa kesedaran, keyakinan dan keikhlasan di hati sehingga mengkufuri dan mengingkari segala ketuhanan selain ketuhanan Allah Subhanahu wa-Ta'ala".
Ilmu dan kefahaman yang sempurna tentang kalimah tauhid akan meyakinkan bahawa hanya Allah satu-satunya Tuhan yang wajib dan berhak disembah.
Maka ganjaran bagi orang-orang yang berkeyakinan seperti ini ialah syurga. Oleh itu perlu disedari oleh setiap mereka yang beriman, bahawa kalimah (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللَّهُ) ini merupakan asas tauhid (iman) dan Islam.
Hanya setelah mengucapkan, memahami maknanya dan memenuhi tuntutan kalimah ini zahir dan batin sahaja seseorang itu dapat menyelamatkan dirinya dari melakukan kesyirikan dan terhindar dari azab api neraka di akhirat kelak.
Namun, jika hanya setakat pengucapan sahaja tetapi kosong dari keyakinan, tidak mengamalkan tuntutannya seperti tidak menghindarkan kesyirikan, tidak ikhlas dalam pengucapan dan amalan, sama ada ucapan hati, lisan atau amalan tubuh badan, maka pengucapannya tidak memberi manfaat kepadanya sebagaimana yang telah disepakati oleh ijmak para ulama.