Apa Itu Iman?
Iman bersinonim dengan kalimah akidah atau didefinisikan sebagai keimanan yang tidak mengandungi kontra (tidak ada keraguan, dugaan, waham,...
https://dakwahsecaramaya.blogspot.com/2014/05/apa-itu-iman.html
Iman bersinonim dengan kalimah akidah atau didefinisikan sebagai keimanan yang tidak mengandungi kontra (tidak ada keraguan, dugaan, waham, ketidaktahuan, kesalahan atau kelupaan seseorang hamba di hatinya selain iman), kerana iman bererti pembenaran dan menurut syara pula didefinisikan:
اَلاِيْمَانُ : نُطْقٌ بِالْلِّسَانِ ، وَاعْتِقَادٌ بِالْجَنَانِ ، وَعَمَلٌ بَالْجَوَارِحِ وَاْلاَرْكَانِ ، وَيَزِيْدُ بِاطَّاعَةِ وَيَنْقُصُ بِالْمَعْصِيَةِ.
"Iman itu: Pengucapan dengan lisan, iktikad di hati, beramal dengan seluruh anggota badan, ia bertambah dengan ketaatan (ibadah) dan berkurangan dengan kemaksiatan".
Atau dimaksudkan juga:
"Iman ialah ilmu tentang hukum-hukum syara dalam bidang akidah yang diambil dari dalil-dalil yakiniyah (mutlak) dan menolak syubahat serta dalil-dalil khilafiyah yang cacat".
Antara lain pengertian akidah menurut pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, sama ada menurut pengertian bahasa atau pengistilahan syara ialah:
Akidah ialah: Ikatan tauhid yang kukuh, teguh dan kuat sehingga memantapkan keimanan seseorang terhadap Allah Subhanahu wa-Ta'ala, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan keimanan terhadap penentuan qada' dan qadarNya, sama ada yang baik atau yang buruk semuanya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala".
Kalimah "Akidah" boleh membari maksud "Iman" kerana akidah dimaksudkan juga oleh para ulama tauhid sebagai: "Kepercayaan/Pembenaran(اَلتَّصْدِيْقُ) ".
Namun, iman tidak boleh diseertikan dengan kalimah tasdik (اَلتَّصْدِيْقُ) "Percaya", kerana tasdik hanya setakat percaya dan seseorang yang percaya tidak semestinya telah beriman, sebagaimana percayanya Abu Talib terhadap Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi beliau tidak beriman dengan kerasulan baginda.
Adapun batasan iman dan penafsirannya menurut para ulama tauhid ialah:
اَلتَّصْدِيْقُ الْجَازِمُ وَاْلاِعْتِرَافُ التَّامُ بِجَمِيْعِ مَا اَمَرَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ بِالاِيْمَانِ بِهِ.
"Kepercayaan yang teguh/mantap (positif) dan pengiktirafan yang sempurna pada segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya sehingga ditaati dengan sepenuh keyakinan pada setiap apa yang telah disyariatkan".
Oleh yang demikian dapatlah difahami bahawa asas dan pokok segala akidah dan keimanan ialah beriman kepada tauhid, sama ada tauhid uluhiyah, rububiyah atau tauhid asma, sifat dan zat.
Itulah sebabnya martabat dan keimanan seseorang itu dianggap paling tinggi dan mulia apabila mengimani "Tauhid" kepada Allah dan mengetahui (berilmu) akan makna, maksud dan syarat-syarat kalimah tauhid, iaitu kalimah (لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله).
Adapun antara maksud dan tujuan memahami akidah tauhid ialah:
"Supaya dapat membenarkan (meyakini) dengan hati yang suci murni dan dengan penuh kepastian tentang wujudnya Dzat Allah Yang Esa (Tunggal), nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang sempurna dan tiada sesuatu pun yang semisal, setara atau sekufu denganNya. Dialah Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi yang tiada ilah yang berhak disembah dan diibadahi selain Dia".
Akidah tauhid juga dapat diertikan:
"Mengaku dengan sebenar-benar pengakuan dan keyakinan bahawa Dialah Tuhan Yang Al-Awalu wal-Akhiru (اَلاَوَّلُ وَاْلاَخِرُ)(Yang Awal dan Yang Akhir), Dialah Zahir, Dialah di atas segala-galanya sehingga tidak ada sesuatu pun yang berada di atasNya dan Dialah juga Batin sehingga tidak ada lagi yang di bawahNya".
Seseorang yang berakidah tauhid meyakini bahawa hanya Allah menghidupkan (Qayyum), Maha Esa dan Dialah tempat berlindung segala makhluk di langit dan di bumi sebagaimana firmanNya:
قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ . اَللهُ الصَّـمَدُ . لَمْ يَـلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ . وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدٌ.
"Katakanlah! Dialah Allah Yang Maha Esa (Tunggal). Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia". Al-Ikhlas, 1-4.
Menurut ulama Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, bahawa natijah dari mentaati perintah Allah yang memerintahkan agar mempelajari dan memahami kalimah (لااله الا الله) melalui ilmu yang bersumber dari al-Quran dan sunnah, maka ia membawa seseorang itu mengenali nikmat tauhid, kerana dengan pengetahuan tersebut ia dapat menyelamatkan akidahnya dari kesesatan bid'ah, kesyirikan atau penyelewengan.
Antara seruan Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang memerintahkan agar difahami dan dipelajari kalimah tauhid ini terdapat di dalam firmanNya:
فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ.
"Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang berhak diibadahi) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu". Muhammad, 47:19.
Ayat di atas ini menyuruh agar seseorang itu meminta keampunan di atas keterlanjuran dosa yang dilakukan, namun sebelum meminta ampun, diperintahkan agar bertauhid terlebih dahulu kerana dosa kesyirikan akan menghalang dari keampunan Allah sebelum dibersihkan dengan tauhid.
Oleh itu, beriman kemudian berilmu tentang akidah tauhid yang diimani adalah asas bagi segala-galanya, dan dengan termeterinya keimanan yang didasari ilmu di hati seseorang, ia akan memperolehi keimaman yang mantap dan akidah yang murni.
Malah keimanan yang berasaskan ilmu akan menjadikan seseorang itu beribadah kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan sempurna, penuh keikhlasan dan terhindar dari pembabitan bid'ah, sama ada ibadahnya yang berupa pengucapan dengan lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), amalan luaran (عَمَلُ الْجَوَارِح والاركان) atau amalan (kerja) hati (عَمَلُ الْقَلْبِ) sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban:
"Sesungguhnya cabang-cabang iman itu setelah diperinci ia meliputi amal lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), amal badan/luaran (عَمَلُ الْجَوَارِحِ) dan amal hati (عَمَلُ الْقَلْبِ)".
Ini dapat diperjelaskan lagi bahawa:
Qaul قَوْلٌ "Ucapan/perkataan/pengakuan". Iaitu dengan cara ( قَوْلٌ بِاللِّسَانِ ) "Ucapan (Perkataan, Pengakuan pengikraran) yang lahir dari lisan yang terbit (untuk menggambarkan) apa yang terdapat di hati tentang apa yang dipercayai sehingga diikrarkan dengan perkataan".
Qaul bil-Lisan (قَوْلٌ بِاللِسَانِ) disebut juga oleh ahli ilmu: "Amal Lisan" (عَمَلُ الْلِسًانِ). Penjelasan ini berdasarkan firman Allah:
قُوْلُوْا آمَنَّا بِاللهِ.
"Katakanlah/ucapkanlah (dengan lisan kamu bahawa) kami beriman dengan Allah". Al-Baqarah, 2:136.
Contoh amal lisan ialah: Mengucapkan dua kalimah syahadah (kalimah tauhid), membaca al-Quran, belajar atau mengajarkan ilmu, beristighfar dan sebagainya.
Amal (عَمَلٌ) "Perbuatan". Iaitu dengan cara amal al-jawarih (عَمَلُ الْجَوَارَحِ) "Amalan anggota tubuh badan seperti mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala tegahanNya".
Sesiapa yang terkeluar atau menyeleweng dari dasar amal yang berkaitan dengan keimanan (akidah) maka dia telah berdosa malah ia telah melakukan kesyirikan kepada Allah.
Dan sesiapa yang sengaja menambah amal yang berkaitan dengan iman apa yang bukan dari urusan keimanan maka dia telah melakukan bid'ah dalam akidah (sehingga menyebabkan juga berlakunya kesyirikan lantaran amalannya yang bid'ah. pent.).
Contoh amal badan (اَلْجَوَارِحُ) ialah: Sembahyang, puasa, zakat, haji, beriktikaf, bersuci, berjihad dan yang lain-lainnya.
Iktikad (اِعْتِقَادٌ) di hati bererti: "Kepercayaan/keyakinan yang tersemat di dalam hati". Iktikad di hati dikenali juga oleh ahli ilmu sebagai qaul al-qalb (قَوْلُ الْقَلْبِ) "Ucapan/bisikan hati" iaitu:
"Berpunca dari iktikad di hati sehingga membuktikan atau mengwujudkan (Bisikan/Pengikraran) amalan hati yang mana tanda pembenarannya ialah dengan tunduk, menyerah (patuh) , ikhlas, taat, penuh rasa cinta (kepada Allah) dan menggemari amal soleh".
Amal hati terdiri dari iktikad (keimanan/kepercayaan) dan niat.
Contoh amalan hati ialah beriman dengan tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah serta tauhid asma (nama-nama), sifat-sifat dan zat Allah.
Seterusnya mengimani para malaikat, kitab, para rasul, para nabi, hari kiamat serta qada' dan qadar (penentuan) yang semuanya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala.
Semua keterangan dan hujjah-hujjah di atas dapat difahami, diperjelas dan dikuatkan lagi melalui qaul Imam Syafie rahimahullah yang dikeluarkan oleh Ibn Abdulbar dari Ar-Rabii':
سَمِعْتُ الشَّافِعِيَّ يَقُوْلُ : اَلاِيْمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ وَاعْتِقَادٌ بِالْقَلْبِ ، اَلاَ تَرَى قَوْلَ الله تَعَالَى {ومَاكَانَ اللهُ لِيُضِيْعَ اِيْمَانَكُمْ} يَعْنِي صَلاَتَكُمْ اِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ ، فَسَمَّى الصَّلاَة اِيْمَانًا وَهِىَ قَوْلٌ وَعَمَلٌ وَعَقدٌ.
"Aku mendengar Syafie berkata: Iman itu perkataan (ucapan/pengakuan), amal dan iktikad di hati, tidakkah engkau ketahui firman Allah Ta'ala (Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu) iaitu sembahyang kamu semasa menghadap Baitul Makadis. Maka dinamakan sembahyang sebagai iman lantaran ia merupakan ucapan, amal dan iktikad".
Dengan berpandukan penjelasan Imam Syafie rahimahullah ini, maka perlulah seseorang itu sentiasa memelihara setiap perkataan, amal dan iktikadnya terutama yang berkaitan dengan tauhid dan sembahyang, supaya ia tidak menyeleweng dari dasar keimanan yang sempurna, terhindar dari melakukan dosa-dosa besar serta terselamat dari segala bentuk kekufuran, kesesatan atau kesyirikan.
Kerana al-Quran juga telah menggambarkan mereka yang meninggalkan salah satu dari tiga perkara tersebut:
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللهِ اَنْ تَقُوْلُوْا مَالاَ تَفْعَلُوْنَ.
"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan". Ash-Shaff, 61:3.