Syarat Pertama: ILMU

Ilmu menurut Bahasa Arab ialah:  "Pengetahuan secara pasti terhadap sesuatu sesuai dengan hakikatnya".  Keadaan ilmu (pengeta...

A+ A-
Sokongan anda sangat diperlukan. Sila 'like' dan 'share' kami.
Ilmu menurut Bahasa Arab ialah:  "Pengetahuan secara pasti terhadap sesuatu sesuai dengan hakikatnya". 

Keadaan ilmu (pengetahuan) seseorang manusia ada beberapa peringkat:
  • Pertama:  Seseorang yang berilmu pengetahuan secara pasti terhadap sesuatu sesuai dengan hakikatnya.
  • Kedua:  Seseorang yang dianggap jahil tetapi jahil yang basit (al-Jahlul Basit), iaitu tidak diketahuinya sesuatu secara keseluruhan.
  • Ketiga:  Seseorang yang dianggap jahil murakkab (Al-Jahlul Murakkab) iaitu berpengetahuan terhadap sesuatu perkara yang berlawanan dengan hakikat sebenarnya dari sesuatu itu.
  • Keempat: Seseorang yang waham (tidak pasti), iaitu pengetahuannya terhadap sesuatu yang dimungkinkan berlawanan dengan hakikat.
  • Kelima: Seseorang yang merasa syak, iaitu pengetahuannya terhadap sesuatu hanya didasari syak-syak yang berkemungkinan berlawanan dengan yang hak.
  • Keenam:  Seseorang yang zan (berperasangka) terhadap sesuatu yang besar kemungkinan ilmunya bertentangan dengan hakikat.
Ilmu atau mengetahui makna dua kalimah syahadah dengan dimensinya menjadi syarat kepada kalimah tauhid.

Penafian dan penetapan dijadikan rukun kerana hanya dengan panduan ilmu dapat dilaksanakan segala tuntutan rukun serta syarat-syarat kalimah tauhid ini dengan sempurna.

Melalui ilmu seorang mukmin dapat memahami semua syarat-yarat kalimah tauhid serta dua rukunnya yang berupa penafian dan pengithbatan yang wajib diketahui oleh setiap mukmin.

Adapun rukun kalimah tauhid yang telah ditetapkan dan disepakati oleh sekalian ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: 
  • Rukun Pertama Penafian:  Penafian(نَفْيٌ)  dalam kalimah tauhid (لا اله الا الله) ialah terdapat pada huruf "Laa" (لا)  yang dikenali sebagai huruf "nafyun", ini bermakna bahawa kalimah(لااله) :  memberi maksud:  "Menafikan adanya tuhan atau menafikan semua sembahan yang berhak diibadahi selain Allah".
  • Rukun Kedua Ithbat:  Mengithbatkan dengan huruf (اِلاَّ) yang dikenali sebagai huruf "istisna". Ini bermakna bahawa kalimah(الا الله)    yang terdapat huruf "istisna" di dalamnya telah mengecualikan untuk mengithbatkan bahawa "Hanya Allah sebagai Tuhan yang berhak disembah atau menetapkan hak uluhiyah hanya bagi Allah semata". 
Dengan kaedah lain bahawa kalimah ini dapat dirumuskan, iaitu: 
  • Pertama:  Penafian(لا اله)  "Menafikan adanya tuhan" yang mana kalimah ini ditafsirkan oleh ulama tafsir dan ulama tauhid sebagai(لامعبود بحق)  "Tidak ada tuhan yang berhak diibadahi/disembah".  Dan rukun yang kedua sebagai penyempurna.
  • Kedua:  Pengithbatan(الا الله)  "Mengithbatkan hanya ketuhanan Allah".  Iaitu mengithbatkan (اثبات), menentukan  atau menetapkan bahawa: "Hanya Allah Yang Esa sahaja Tuhan yang berhak disembah (diibadahi) dengan menafikan selainNya".  
Adapun dalil wajibnya berilmu tentang kalimah tauhid ini ialah firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:

فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ.

"Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan (yang hak) melainkan Allah". Muhammad, 47:19.

Amat jelas bahawa lafaz suruhan atau perintah "ketahuilah" di ayat ini menunjukkan suruhan yang wajib.  Iaitu wajib mengetahui dan memahami kalimah tauhid melalui ilmu.  

Dan antara maksud ayat di atas ialah:

"Ketahuilah wahai Rasul!  Sesungguhnya tidak ada yang berhak disembah (diibadahi) selain Dia (Allah), dan engkau serta sekalian makhluk tidak disuruh menyembah melainkan hanya kepada Allah Ta'ala yang telah menjadikan segala makhluk" 

Syarat untuk masuk ke syurga ialah tauhid atau muwahhid(موحد)  "Mengesakan Allah".  Ini akan menjadi kenyataan dengan berilmu atau berpengetahuan tentang kalimah tauhid (لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ).  

Ilmu atau pengetahuan tentang kalimah ini akan menyempurnakan, menguatkan dan meyakinkan pegangan tauhid seseorang, ini perlu dikekalkan sehinggalah ia mati. 

Semua perkara yang dinyatakan di atas telah dikhabarkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melalui sabdanya:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمْ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّة.

"Sesiapa yang mati sedangkan dia tahu (mengenali) bahawa tiada ilah (tuhan) yang berhak diibadahi melainkian Allah, maka dia masuk syurga". 

Dengan ini amat jelas bahawa seseorang itu tidak akan sempurna keimanannya jika tidak mengetahui dan memahami pengertian kalimah yang dikenali dengan kalimah iman, kalimah syahadah, kalimah tauhid, kalimah ikhlas atau kalimah Allah iaitu: (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ) yang memberi maksud: "Tidak ada sesuatu yang layak disembah (diibadahi) dengan sebenarnya (dengan hak) kecuali Allah".  

Penjelasan di atas yang berpandukan kepada hujjah dapat dikuatkan dan dijelaskan sekali lagi dengan penetapan ulama usuluddin bahawa: 

"Di dalam kalimah ini terkandung maksud peniadaan (penafian) akan adanya tuhan yang wajib diibadahi selain Allah, kemudian menetapkan (mengithbatkan) hanya Allah sahaja satu-satunya Ilah (Tuhan) Yang Hak (Yang Benar) yang wajib disembah, diibadahi, dipatuhi dan diketahui (dikenali)".  

Oleh kerana setiap mukmin wajib mentaati, menyembah dan beribadah hanya kepada Allah Azza wa-Jalla sahaja yang tidak boleh disekutukan dengan yang lain, maka wajib bagi setiap mukmin mengenal (mengetahui) makna, maksud dan erti sebenar kalimah Ilah yang terdapat di dalam kalimah tauhid.  

Adapun sebab wajibnya memahami kalimah tauhid dan juga maksud kalimah Ilah yang terdapat di dalam kalimah tauhid, ialah untuk memenuhi perintah Allah yang berupa peringatan yang tegas sebagaimana yang terdapat di dalam firmanNya:

فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ.

"Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan melainkan Allah". Muhammad, 47:19
Berkata Ibn Sa'edi rahimahullah:  

"Sewajarnya seseorang itu berilmu tentangnya (kalimah tauhid) sehingga memantapkan hati, dan berpengetahuan dengan memenuhi tuntutan ilmu dan kesempurnaannya agar dapat melaksanakan segala tuntutannya". 

Maksud (فَاعْلَمْ) : "Ketahuilah!" di ayat ini ialah mengetahui yang hak iaitu tauhid  sebagaimana firman Allah:

اِلاَّ مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُوْنَ.

"Tetapi orang yang mengetahui yang hak (tauhid) dan mereka meyakini(nya)". Az-Zukhruf, 43:86.

Lawan dari ilmu adalah jahil atau ketidaktahuan tentang makna syahadah.

Related

Syarat Pertama: ILMU 5095977956870480684

Peringatan/Makluman!

Semua informasi di dalam blog ini sekadar pengetahuan bersama untuk difikirkan. Rujuklah Al-Quran & Hadis dan yang sebaiknya dengan bimbingan guru yang mursyid.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." - (Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Ahlus Sunnah Wal- Jamaa'ah


Ikuti kami dan 'Get Notification'


Sila LIKE dan tanda 'Get Notification' fanpage ini.

Jumlah Kunjungan

Artikel Terkini

Popular

Terbaru

Arkib

Langganan Kemaskini Terkini!

Nama Penuh

Alamat Email

Bersama Kami

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." - Surah Ali `Imran: 110




item