Salam Jumaat [Jom! Selawat] Mendapatkan Syafaat Rasulullah SAW

Berkata Imam Al-Barbahari (wafat 329H) rahimahullah: “Beriman dengan Syafaat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bagi orang berdosa ...

A+ A-
Sokongan anda sangat diperlukan. Sila 'like' dan 'share' kami.

Berkata Imam Al-Barbahari (wafat 329H) rahimahullah:

“Beriman dengan Syafaat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bagi orang berdosa yang bersalah[1] pada Hari Kiamat, dan ketika di atas Sirath[2], dan dengan mengeluarkan mereka dari perut Neraka Jahannam. Setiap Nabi memiliki hak untuk memberi Syafaat, begitu juga para Siddiqin (orang-orang yang benar), para Syuhada’ (orang-orang yang mati syahid), dan para Salihin (orang-orang yang soleh). Setelah itu Allah memberi izin untuk mengeluarkan ramai daripada siapa yang dikehendakiNya. Mereka keluar dari Neraka Jahannam[3] setelah terbakar hangus hingga menjadi arang.”

Perkara ke-20 yang disebut oleh Imam Al-Barbahari ini juga termasuk di antara prinsip atau perkara-perkara yang menjadi sebahagian dari akidah yang diimani oleh Ahli Sunnah wal Jamaah, di mana disebutkan tentang syafaat Rasulullah sallallallahu ‘alaihi wasallam secara khasnya bagi orang yang berdosa.

Orang-orang yang melakukan kesalahan akan turut diberi syafaat kepada mereka pada Hari Kiamat kelak.

Perkara ini disebutkan secara jelas di dalam hadis-hadis Nabi sallallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim di mana Nabi sallallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku; aku dimenangkan dengan dengan rasa takut (di hati musuh) untuk perjalanan sebulan; dijadikan untukku tanah sebagai tempat untuk solat dan untuk bersuci, maka mana-mana orang dari kalangan umatku yang mendapati masuk waktu solat, hendaklah dia solat; dan telah dihalalkan buatku ghanimah (harta rampasan perang) dan ia tidak dihalalkan buat sesiapa pun sebelumku; dan aku telah diberikan syafaat; dan seseorang Nabi sebelumku diutuskan kepada kaumnya secara khas, sedangkan aku diutuskan kepada seluruh manusia secara amnya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Lima kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah secara khasnya yang tidak ada pada orang-orang sebelum Baginda, tidak ada pada Nabi dan juga Rasul sebelum Baginda. Rasulullah diberi kelebihan di mana Baginda dapat mengalahkan musuh tanpa berperang dengan mereka secara senjata. Sebaliknya cukup dengan pergerakan tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Baginda keluar untuk berdepan dengan musuh, pergerakan Baginda itu sudah cukup memberi ketakutan kepada musuh menyebabkan mereka mengaku kalah atau berpaling dari peperangan. Mereka kalah begitu sahaja, ketakutan masuk dalam hati musuh ketika Rasulullah dalam perjalanan menyebabkan mereka berpaling dan mengaku kalah sebulan sebelum Rasulullah sampai.

Dijadikan untukku tanah sebagai tempat untuk solat dan untuk bersuci: Ini juga kelebihan khas untuk Nabi Muhammad dan umatnya sahaja. Di mana juga kita boleh solat, dan dengan tanah itu juga kita boleh bersuci (bertayammum) sekiranya tidak ada air. Umat terdahulu tidak mendapat keistimewaan ini.

Maka mana-mana orang dari kalangan umatku yang mendapati masuk waktu solat, hendaklah dia solat: Tidak kira di mana dia berada, hendaklah dia solat apabila masuk waktu. Kalau tidak ada masjid di situ, dia boleh solat di mana-mana asalkan tempat itu suci dari najis. Dan jika tidak ada air, boleh sahaja dia bertayammum dengan tanah atau debu yang ada di tempat itu.

Dan telah dihalalkan buatku ghanimah (harta rampasan perang) dan ia tidak dihalalkan buat sesiapa pun sebelumku: Harta rampasan perang hanya halal buat umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Apabila berlaku peperangan, akan ada harta rampasan perang bagi tentera yang menang. Harta yang dirampas dari orang-orang kafir secara khasnya adalah halal buat tentera Islam. Hal ini berbeza bagi umat-umat terdahulu.

Berlaku peperangan sepanjang sejarah manusia termasuk sebelum zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi bezanya, harta rampasan itu dikumpulkan seperti dalam peristiwa Nabi Musa ‘alaihissalam di mana harta rampasan musuh dikumpulkan dan diletakkan di satu tempat, lalu akan ada petir dari langit yang menyambar dan membakar harta-harta itu. Dengan erti kata, mereka tidak memperolehi satu pun dari harta rampasan. Sebaliknya ia akan dibakar dengan kuasa Allah yang kena pada harta rampasan itu.

Dan aku telah diberikan syafaat: Jelas disebutkan dalam hadis ini tentang kelebihan Syafaat diberikan kepada Rasulullah.

Bukan maksudnya orang lain tidak ada syafaat atau tidak boleh memberi Syafaat. Orang lain juga ada, tetapi syafaat Rasulullah melebihi syafaat para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada’, para Salihin yang lain.

Syafaat Rasulullah ada keistimewaan yang tersendiri, yang khas untuk Baginda.

Di dalam hadis yang lain, juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ يَدْعُو بِهَا وَأُرِيدُ أَنْ أَخْتَبِئَ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي فِي الْآخِرَةِ

“Bagi setiap Nabi ada doa yang mustajab untuk dia berdoa dengannya, dan aku ingin menyimpan doaku sebagai syafaat bagi umatku pada Hari Akhirat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Doa mustajab Rasulullah, Baginda tangguhkan, Baginda simpan untuk Baginda beri syafaat untuk umatnya pada Hari Akhirat kelak. Hal ini juga disebutkan secara jelas di dalam hadis sahih riwayat Al-Bukhari dan yang lain, di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ، ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِي الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ، حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ “

“Apabila kalian mendengar muadzin (mengumandangkan azan), maka ucapkanlah seperti yang dia ucapkan (kecuali pada kalimat {حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ, حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ} dijawab dengan hauqalah iaitu { لاَ حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ } sebagaimana dalam sebuah hadis yang lain). Kemudian, berselawatlah kepadaku. Sesungguhnya barang siapa yang berselawat kepadaku sebanyak satu selawat, nescaya Allah berselawat kepadanya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mintalah daripada Allah untukku Al-Wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di Syurga yang tidak layak ditempati melainkan oleh seorang hamba sahaja daripada hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Barangsiapa meminta untukku al-wasilah, akan halal buatnya syafaatku.” (Riwayat Muslim)

Di sini jelas tuntutan supaya kita membaca doa selepas azan seperti sabda Baginda;

مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ، اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Barangsiapa yang mengucapkan ketika mendengar azan: “Allaahumma Rabba hadzihi al-da’wati al-taammati wa al-solati al-qa-imah, Aati Muhammadan al-wasilata wa al-fadhilah, wab’atshu Maqaman Mahmudan alladzi wa’adtah” (Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, berilah kepada Muhammad al-wasilah dan kelebihan, dan bangkitkan Baginda di kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan baginya); maka halal baginya syafaatku pada Hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Kita baca doa ini, moga-moga kita termasuk dalam golongan yang dihalalkan baginya syafaat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di Hari Akhirat kelak.

MAKSUD SYAFAAT

Bahasa mudahnya, syafaat adalah menjadi perantara. Syafaat bukan khas buat antara seorang hamba dengan Allah, bahkan sesama manusia pun ada istilah syafaat.

Jadi syafaat secara umum bermaksud menjadi perantara buat seseorang dengan yang lain; sama ada
1) antara manusia dengan manusia, atau perkara yang sedang kita bincangkan ini adalah
2) antara seorang hamba Allah dengan Allah, demi untuk mendapat satu maslahat atau menolak mudarat.

Itu maksud syafaat secara umum. Seorang itu menjadi perantara untuk orang lain demi untuk mendapatkan maslahat atau untuk menolak mudarat bagi orang itu.

Adapun (syafaat) Rasulullah; Rasulullah lah yang akan menjadi perantara antara umat Baginda dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala, untuk mendapat maslahat bagi hamba Allah itu atau menolak mudarat.

ORANG YANG LAYAK MEMBERI & MENERIMA SYAFAAT

Sesungguhnya syafaat tidak akan diterima kecuali dengan dua syarat. Syarat ini cukup penting. Syafaat itu tidak akan diperkenankan oleh Allah kecuali dengan dua syarat;

Keizinan daripada Allah buat pemberi syafaat (yang menjadi perantara). Seseorang tidak boleh memberi syafaat sewenang-wenangnya. Dia perlu mendapat izin daripada Allah.

Tidak boleh sewenang-wenangnya dia hendak menjadi perantara antara seorang hamba dengan Allah.
Keredhaan Allah atas orang yang hendak diberi syafaat.

Maka pemberi syafaat perlu diberi izin dahulu, manakala orang yang hendak mendapat syafaat perlu tergolong di kalangan mereka yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Hendak disimpulkan, siapakah yang diredhai oleh Allah dalam ertikata siapakah yang layak untuk mendapat syafaat?

Secara umumnya, hanya mereka yang mentauhidkan Allah semata-mata yang layak menerima syafaat. Sama sekali syafaat tidak akan diberi buat mereka yang menyekutukan Allah, daripada orang-orang kafir atau orang-orang musyrikin.

Orang-orang kafir atau orang-orang musyrikin sama sekali tidak layak untuk mendapat syafaat kerana mereka termasuk di kalangan mereka yang tidak diredhai oleh Allah, bahkan mereka ini adalah golongan yang dimurkai oleh Allah.

Dalil bagi syarat pertama adalah firman Allah dalam ayat Al-Kursiy,

مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ

“Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izinNya.” (Surah Al-Baqarah: 255)

Juga seperti mana dalam surah Al-Najm, ayat ke-26 di mana Allah berfirman,

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمَاوَاتِ لاَتُغْنِى شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا إِلاَّ مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللهُ لِمَن يَشَآءُ وَيَرْضَى

“Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia redhai.” (Surah Al-Najm, 59: 26)

Juga firman Allah,

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَاخَلْفَهُمْ وَلاَ يَشْفَعُونَ إِلاَّ لِمَنِ ارْتَضَى وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ

“Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepadaNya.” (Surah Al-Anbiya’, 21: 28)

Ayat ini mengandungi kedua-dua syarat yang telah kita sebutkan tadi. Berapa ramai malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan faedah, kecuali setelah tertunai dua syarat; sesudah diizin oleh Allah bagi siapa yang Allah kehendaki dan yang diredhaiNya.

Juga boleh kita sebutkan satu lagi dalil dalam surah Al-Zumar ayat ke-44,

قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا

“Katakanlah; hanya milik Allah (semata-mata) syafaat itu kesemuanya.” (Surah Al-Zumar: 44)

Syafaat itu semuanya kepunyaan Allah. Ertinya, tiada sesiapa pun dari kalangan manusia yang ada kuasa untuk mengampunkan seseorang atau menghancurkan seseorang. Syafaat (mendapat maslahat atau menolak mudarat) adalah milik Allah semata-mata. Tidaklah pemberi syafaat itu kecuali dia hanyalah perantara.

Apabila dikatakan perantara, di sini timbul persoalan. Perantara yang hendak memberi syafaat itu tidak kira sesiapa; sama ada para malaikat, para syuhada, para salihin, siddiqin, bahkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Namun apabila kita kata Rasulullah memberi syafaat atau sesiapa memberi syafaat, adakah di sini bererti bahawa dia mempunyai kuasa untuk memberi manfaat kepada sesiapa atau menolak mudarat kepada sesiapa?

Adakah mereka mempunyai kuasa? Jawapannya tidak.

Ini maksud surah Al-Zumar ayat ke-44 tadi. Pemberi syafaat itu hanya perantara sahaja, itu pun dengan dua syarat yang telah kita sebutkan tadi.

Siapakah yang layak untuk diberikan (menerima) syafaat? Jawapannya ada dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ditanya,

يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، أَنْ لَا يَسْأَلَنِي عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ، مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ

“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu pada Hari Kiamat?” Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sungguh aku menyangka wahai Abu Hurairah bahawa tidak ada orang yang bertanya kepadaku lebih awal daripada engkau ketika aku melihat semangatmu dalam mencari hadis. Orang yang paling berbahagia dengan syafaatku pada Hari Kiamat adalah orang yang mengucapkan Laa ilaha illallaah secara ikhlas dari hatinya atau dari dirinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Mengucapkan Laa ilaaha illallah secara ikhlas maksudnya dengan jujur dalam hatinya, kerana ucapan itu bermula di hati, baru kemudian disebut dengan lidah. Tidak ada guna kalau kita menyebut La ilaha illallah tanpa ada kefahaman dan keimanan.

Maka secara umumnya, syafaat adalah khas buat orang yang mentauhidkan Allah, iaitu orang yang mengesakan Allah di dalam ibadahnya dan menjauhi segala bentuk syirik/ perbuatan menyekutukan Allah.

SYUBHAT & PENYIMPANGAN MAKSUD SYAFAAT

A.      KHAWARIJ & MU’TAZILAH

Terdapat golongan yang menyimpang di dalam memahami maksud syafaat. Golongan yang dimaksudkan adalah golongan khawarij dan mu’tazilah.

Bagi mereka, orang-orang Islam yang melakukan dosa besar tidak layak mendapat syafaat di Hari Akhirat kelak. Ini kerana memang prinsip mereka bahawa pelaku dosa-dosa besar itu jatuh kafir. Mereka mengkafirkan pelaku dosa besar, maka memang orang kafir tidak layak mendapat syafaat.

Timbul perselisihan antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan orang-orang Khawarij dan Mu’tazilah; iaitu adakah pelaku dosa besar jatuh kafir? Saya melihat bahawa perselisihan ini berlaku secara terus menerus. Bahkan baru-baru ini ada satu kenyataan dari seorang tokoh di mana kenyataannya itu membawa kepada takfir.

Kita tidak mahu masuk dalam politik, tetapi kita katakan bahawa kenyataannya itu berunsur Khawarij, di mana dia mengatakan lebih kurang bahawa “Solat orang Umno tidak dapat pahala.”

Apa maksudnya itu? Kalau kita faham betul-betul, itu adalah kenyataan mengkafirkan. Kenapa? Solat orang Umno tidak bawa pahala, bila tidak bawa pahala bererti solatnya tidak sah. Timbul persoalan, kenapa tidak sah? Adakah dia membicarakan tentang syarat-syarat sah solat tidak cukup; tidak ambil wudhu, tidak menghadap kiblat, tidak menutup aurat? Adakah dia membincangkan tentang itu?

Jawapannya tidak. Tetapi jawapan yang dia sebut ialah orang Umno tolak Islam, orang Umno beramal dengan perlembagaan sekular, tidak berhukum dengan hukum Allah. Dan ini memang Syiar orang Khawarij, iaitu barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang kafir.

Nampak bahawa fahaman Khawarij dan Muktazilah terus berkembang subur, terus ada di kalangan orang-orang Islam sehingga ke hari ini bahkan sehingga ada di negara kita slogan-slogan dan kenyataan-kenyataan mereka.

Jadi apakah hujah orang-orang Khawarij dan Muktazilah yang mengingkari Syafaat bagi pelaku dosa besar dari kalangan orang Islam? Di antara hujah mereka adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Maka tidak akan berguna kepada mereka Syafaat dari orang-orang yang memberikan Syafaat.” (Surah Al-Muddatstsir, 74: 48)

Mereka mengatakan bahawa tidak akan berguna Syafaat atau pertolongan sesiapa pun buat mereka. Orang-orang Khawarij mengertikan bahawa ‘mereka’ di dalam ayat ini adalah pelaku dosa besar.

Sedangkan adakah begitu maksud ayat ini? Tidak, sebaliknya ayat ini adalah khas buat orang-orang kafir. Maka akhirnya ayat yang diturunkan ke atas orang kafir, mereka mengadaptasikannya ke atas orang-orang Islam.

Ini bahaya pemikiran Khawarij. Mereka mengkafirkan orang Islam, bahkan sehingga menghalalkan darah mereka, menghalalkan harta mereka, dan sudah tentulah membatalkan amal ibadah mereka dengan sewenang-wenangnya atas alasan bahawa mereka telah jatuh kafir kerana tidak berhukum dengan hukum Allah.

Ini orang-orang Khawarij dan Mu’tazilah, yang jelas mereka bersikap melampau. Mereka menyempitkan maksud syafaat di mana mereka mengatakan bahawa pelaku dosa besar tidak termasuk dalam golongan orang yang menerima syafaat.

B. SYIAH, SUFI, PENYEMBAH KUBUR

Kita dapati bahawa ada pula golongan yang bersikap sebaliknya; iaitu orang-orang Syiah Rafidhah, Sufi, dan penyembah kubur. Mereka meluaskan maksud syafaat di mana mereka melihat bahawa dibolehkan untuk kita meminta syafaat daripada Rasulullah, para wali, atau orang soleh yang sudah mati ketika di dunia.

Sedangkan Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang bahawa syafaat hanya berguna ketika di Akhirat kelak. Ini kerana dunia bukan tempat perhitungan, bukan Hari Pembalasan, bukan Hari Pengampunan. Sebaliknya Hari Perhitungan dan Pembalasan adalah di Akhirat kelak.

Tetapi mereka memahami bahawa boleh meminta syafaat ketika di dunia. Mereka melihat bahawa permintaan mereka untuk mendapat syafaat ketika di dunia ke atas Rasulullah yang sudah wafat, kepada para wali yang mungkin hidup atau sudah mati, atau mana-mana penghuni kubur yang mereka keramatkan kubur mereka, mereka melihat perbuatan ini berguna dan bermanfaat untuk mendapat maslahat atau menolak mudarat di dunia atau di Akhirat.

Bahkan seperti yang disebut oleh Syaikh Rabee’ hafizahullah, dia mengatakan bahawa golongan penyembah kubur dari kalangan Rafidhah dan Sufi ini sudah bersikap melampau.

Mereka bukan sahaja meminta syafaat, bahkan mereka sehingga berdoa kepada penghuni kubur itu, bahkan meminta bantuan terus kepada penghuni kubur yang mereka anggap sebagai wali ataupun kubur Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri.

Syaikh Rabee’ menjelaskan juga, bahkan sikap melampau golongan ini sehingga mereka melihat bahawa penghuni kubur itu mengetahui tentang alam ghaib, mengetahui apa yang akan berlaku, dan mereka menganggap penghuni kubur yang mereka keramatkan itu mempunyai kuasa dalam mengurus tadbir dunia ini. Sehingga begitu sekali kesyirikan mereka.

Di antara perkara berkaitan syafaat yang akan berlaku di Akhirat kelak adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan keadaan manusia apabila keadaan terus menjadi sulit dan cemas, manusia sudah menjadi ketakutan yang amat sangat di Padang Mahsyar, mereka akan berkata,

“Mengapa kalian tidak mencari orang yang  boleh memberi syafaat di hadapan Tuhan kalian?” Lalu sebahagian mereka berkata, “Datanglah kepada Adam.” Mereka mendatanginya dan berkata kepadanya, “Engkau adalah bapa manusia, Allah menciptakanmu dengan TanganNya, meniupkan roh kepadamu, Dia memerintahkan malaikat bersujud kepadamu lalu mereka pun sujud, apakah kamu tidak melihat keadaan kami?” Adam menjawab, “Sesungguhnya Rabbku telah marah dengan kemarahan yang belum dilakukan sebelumnya dan tidak akan dilakukan sesudahnya. Dia melarangku mendekati pohon tetapi aku melanggarnya. Diriku, diriku, diriku (dirikulah yang patut diberikan syafaat). Pergilah kepada Nuh.”

Lalu mereka mendatangi Nuh dan berkata, “Wahai Nuh, sesungguhnya engkau adalah Rasul pertama yang diutus ke bumi, Allah telah menamakanmu sebagai hamba yang selalu bersyukur, berilah syafaat kepada kami di hadapan Rabbmu. Apakah kamu tidak melihat keadaan kami?” Nuh menjawab seperti Adam menjawab tentang kemarahan Allah. Nuh berkata, “Sesungguhnya aku mempunyai doa yang telah aku gunakan untuk keburukan kaumku. Pergilah kepada Ibrahim.”

Lalu mereka mendatangi Ibrahim dan berkata, “Wahai Ibrahim, engkau adalah Nabi Allah dan KhalilNya dari penduduk bumi, berilah syafaat kepada kami di hadapan Rabbmu, apakah kamu tidak melihat keadaan kami?” Lalu Ibrahim menjawab seperti Adam menjawab tentang kemarahan Allah. Ibrahim menambah, “Aku telah berdusta sebanyak tiga kali. Pergilah kepada Musa.”

Lalu mereka mendatangi Musa dan berkata, “Wahai Musa, engkau adalah Rasul Allah, Allah telah melebihkanmu dengan risalah dan kalamNya, berilah syafaat kepada kami di hadapan Rabbmu. Apakah engkau tidak melihat keadaan kami?” Musa menjawab seperti Adam menjawab tentang kemarahan Allah. Musa menambah, “Aku telah membunuh orang di mana aku tidak diperintahkan untuk membunuhnya. Pergilah kepada Isa.”

Maka mereka mendatangi Isa dan berkata, “Wahai Isa, engkau adalah Rasul Allah dan kalimatNya kepada Maryam dan ruh dariNya, engkau berbicara kepada manusia ketika engkau masih bayi dalam buaian, berilah syafaat kepada kami di hadapan Rabbmu.

Apakah engkau tidak melihat keadaan kami?” Isa menjawab sebagaimana jawapan Adam tentang kemarahan Allah, tetapi dia tidak menyebutkan dosa. Semua mereka (Nabi-nabi itu) menjawab seperti mana ucapan Adam: “Diriku, diriku, diriku (dirikulah yang patut diberikan syafaat). Pergilah kepada Muhammad.”

Lalu mereka mendatangi Muhammad dan berkata, “Wahai Muhammad, engkau adalah Rasul Allah, penutup para Nabi, Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang kemudian, berilah syafaat kepada kami di hadapan Rabbmu. Apakah kamu tidak melihat keadaan kami?”

Maka aku (Nabi Muhammad) berangkat dan aku datang di bawah Arasy, aku bersujud di hadapan Rabbku ‘Azza wa Jal, kemudian Allah mengilhamiku sebahagian puji-pujian dan kebaikan sanjungan kepadaNya yang belum dibukakan olehNya kepada seorang pun sebelumku, kemudian diserukan,

“Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, mintalah nescaya dikabulkan, berilah syafaat nescaya diizinkan….” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang disebutkan dalam hadis ini, di mana para Rasul dari kalangan Ulul ‘Azmi yang kedudukan mereka melebihi kedudukan para Nabi dan Rasul yang lain, mereka menolak untuk memberi syafaat kerana mengenangkan kekurangan yang ada pada mereka. Mereka melihat mereka tidak layak untuk memberi syafaat.

Akhirnya hanya Nabi Muhammad yang bersetuju untuk memberi syafaat.

Sabda Nabi sallallahu'alaihiwasallam, "Apabila kamu meminta maka mintalah daripada Allah sahaja, dan apabila kamu memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan Allah sahaja." (Sahih Al-Tirmizi)

Sabda Nabi sallallahu’alaihiwasallam, “Apabila kamu meminta maka mintalah daripada Allah sahaja, dan apabila kamu memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan Allah sahaja.” (Sahih Al-Tirmizi)

Maka betapa silap dan betapa tidak patutnya golongan penyembah kubur, golongan yang menganggap diri mereka wali, syaikh-syaikh tarikat yang ketika hidup mereka tergamak meminta pengikut-pengikutnya, murid-muridnya supaya datang kepada mereka untuk mendapatkan syafaat. Boleh kita kata betapa tidak ada adabnya mereka, tidak ada perasaan malu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kalau para Nabi, para Rasul Ulul ‘Azmi merasa malu, merasa rendah diri, merasa bahawa mereka tidak layak, bagaimana mungkin tokoh-tokoh tarikat sufi ini menyuruh murid-muridnya supaya datang minta syafaat daripadanya, cium tangan cium kaki untuk mendapatkan syafaat?

Jelas menunjukkan kesesatan mereka, dan rosaknya akhlak mereka.

JENIS-JENIS SYAFAAT RASULULLAH

Terdapat beberapa syafaat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Syafaat Al-Uzhma (Syafaat yang paling besar) yang khas buat Baginda, iaitu seperti yang disebut dalam hadis terakhir tadi di mana semua para Nabi menolak untuk memberi syafaat sehingga akhirnya manusia pergi kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Syafaat kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga. Bagindalah yang akan menjadi penghulu bagi seluruh penghuni syurga, orang pertama yang akan masuk ke Syurga. Setelah Rasulullah masuk Syurga, barulah orang lain dapat memasukinya. Masuknya Rasulullah ke dalam Syurga adalah syafaat buat ahli syurga yang lain.

Syafaat untuk pakcik Baginda Abu Thalib. Walaupun beliau mati dalam kekufuran, disebabkan beliau menjaga dan memelihara Baginda dari gangguan orang-orang kafir Quraisy, Allah memperkenankan Rasulullah memberi syafaat kepadanya dengan dikurangkan azab api Neraka ke atasnya iaitu yang paling minimum, di mana Api Neraka hanya sampai di pergelangan kakinya. Pun begitu, ia sehingga menggelegakkan otak kepala.

Syafaat (umum) untuk mengeluarkan pelaku-pelaku dosa besar atau kecil dari kalangan orang Islam dari api Neraka dan dimasukkan mereka ke dalam Syurga, dan kepada orang yang berhak masuk Neraka untuk tidak masuk Neraka.

Itu adalah empat jenis syafaat buat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, di mana syafaat yang pertama, kedua dan ketiga adalah khas buat Baginda, hanya syafaat yang keempat dikongsi dengan yang lain.

[1] Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Syafaatku (juga) bagi para pelaku dosa besar dari umatku.” (Sahih Sunan Al-Tirmizi)

[2] Sebagaimana hadis panjang dari Abu Said Al-Khudri radhiyallahu ‘anh di mana disebutkan, “Kemudian dihamparkan jambatan di atas Neraka Jahannam dan dibolehkan syafaat.” (Al-Bukhari & Muslim)

[3] Sebagaimana hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anh di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut, “Kemudian aku memberi syafaat, maka Allah memberi batasan kepadaku, kemudian aku mengeluarkan mereka dari neraka dan memasukkan mereka ke dalam Syurga.” (Al-Bukhari & Muslim)

PRINSIP AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TENTANG ADANYA SYAFAAT, November 27, 2013, Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah. (Disalin dari rakaman Kuliah Syarah Al-Sunnah Imam Al-Barbahari, Perkara ke-20, 10.04.2013, Kajang) , https://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/11/27/prinsip-ahli-sunnah-wal-jamaah-tentang-adanya-syafaat/

Related

Sunnah Rasulullah 4657533591229396418

Peringatan/Makluman!

Semua informasi di dalam blog ini sekadar pengetahuan bersama untuk difikirkan. Rujuklah Al-Quran & Hadis dan yang sebaiknya dengan bimbingan guru yang mursyid.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." - (Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Ahlus Sunnah Wal- Jamaa'ah


Ikuti kami dan 'Get Notification'


Sila LIKE dan tanda 'Get Notification' fanpage ini.

Jumlah Kunjungan

Artikel Terkini

Popular

Terbaru

Langganan Kemaskini Terkini!

Nama Penuh

Alamat Email

Bersama Kami

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." - Surah Ali `Imran: 110




item